Catatan Terbaru :
Home » , , , » Mencari Persamaan Bukan Perbedaan

Mencari Persamaan Bukan Perbedaan

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Salam perkenalan dari saya untuk semua pembaca, saya terlebih dahulu mengucap syukur kepada Ilahi kerana diberi peluang oleh Allah Subhanahu Wataala untuk menyampaikan suara hati, opini, saran-saran saya, seorang rakyat Malaysia untuk tatapan saudara-mara saya di Indonesia, negara jiran kami.

Sebelum terlalu jauh, biarlah saya ceritakan mengenai hubungan peribadi saya dan betapa dekatnya perasaan saya dengan negara anda, Republik Indonesia. Saya mula menjejakkan kaki di bumi Indonesia pada 1992, iaitu 20 tahun yang lalu. Saat itu, saya baru berumur 21 tahun, mengelilingi separuh Sumatera dari Dumai-Pekanbaru-Bukittinggi-Padang-Sungai Penuh-Kerinci-Bengkulu-Palembang.

Pulang ke Malaysia, cerita saya mengenai kegembiraan menjejak kaki di Indonesia kepada teman-teman tidak habis-habis setelah berbulan-bulan. Setelah itu, saya juga sudah sering dan pernah ke Jakarta, Yogyakarta, Bandung, Surabaya dan Bali. Selain itu, pernah juga ke Medan dan Danau Toba bersama famili. Saya senang sekali dengan keindahan panorama di Indonesia, khususnya kawasan tanaman padi dan perkampungan di sana.

Mengesankan

Yang paling mengesankan buat saya ialah saat saya berada di Padang, Mukomuko dan Bengkulu untuk tugasan kerja berikutan gempa bumi di daerah itu pada 2007. Kejadian gempa pada waktu Magrib malam menyambut 1 Ramadan pada 21 September 2007 tidak mengorbankan banyak nyawa, hanya 23 orang, tetapi rumah-rumah dari jajaran Padang sehingga ke Bengkulu terutama yang di tepian pantai, habis ranap dan musnah.

Perjalanan dan tugas selama hampir 3 minggu pada bulan puasa di sana membuatkan saya benar-benar insaf akan kekuasaan Allah, dan ketabahan hati masyarakat yang ditimpa musibah itu. Dari tugasan itu, perusahaan saya di Kuala Lumpur dengan kerjasama sebuah bank terbesar di Malaysia, kami berjaya mengumpul hampir RM1.2 juta (Rp 3,8 miliiar) sumbangan atau derma daripada masyarakat Malaysia.

Hasilnya, kami menggunakan wang itu untuk membeli 11 ambulans dan sebuah lorry tanker air kepada 11 hospital di kabupaten dalam wilayah Bengkulu dan Sumatera Selatan. Saya sangat puas dapat membantu daerah yang sering terlibat gempa itu.

Terharu

Selain kunjungan ke tempat-tempat dilanda gempa itu, hati dan perasaan saya sangat terkesan dengan sambutan 2 pemerintah daerah (Pemda) dan 3 pemerintah kota (Pemko) di Sumatera Utara untuk rombongan Persatuan Halak Mandailing Malaysia pada 22 hingga 27 November 2012. Sambutan yang diberi masih segar di ingatan kami sampai detik ini, khususnya saya sebagai presiden organisasi itu. Kami tidak meminta disambut besar-besaran, tapi ternyata itulah yang kami terima. Sungguh mulia dan tulus ikhlas mereka di Pemda Mandailing Natal dan Tapanuli Selatan serta Pemko Tanjungbalai, Asahan; Padang Sidimpuan; dan Medan.

Sebanyak 100 orang anggota rombongan yang merupakan rakyat Malaysia, warganegara yang sudah berketurunan hampir 200 tahun di Malaysia, sangat gembira menerima pelayanan yang sangat baik, ramah, mesra dan berkasih sayang dalam kunjungan silaturahim itu. Mereka pulang ke kampung mereka di Malaysia dengan 1001 cerita gembira dan keseronokan menjejakkan kaki ke bumi tanah leluhur mereka di Sumatera Utara.

Bersaudara

Sesungguhnya, kita ini sama ada yang lahir di Malaysia atau di Indonesia, asal sahaja dari suku Mandailing, Jawa, Bugis, Minang dan lain-lain dari rumpun yang sama, hakikatnya adalah bersaudara. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa walaupun majoriti masyarakat di Malaysia itu disebut sebagai Melayu dan di MyKad (KTP) ditulis Melayu, namun itu tidak bererti semuanya suku Melayu seperti Melayu Riau, Melayu Deli atau Melayu Pesisir di Indonesia.

Di Malaysia, suku-suku serumpun sama ada Mandailing, Jawa, Bugis, Minang, Banjar dan lain-lain yang berhijrah ke Tanah Melayu sejak 1800 atau sebelumnya, semua disebut secara rasmi sebagai Melayu. Makanya, sebab itu saya kuat mengatakan bahawa mahu tidak mahu, kita adalah bersaudara.

Yang membezakan kita hanyalah negara, kerana dulu iaitu lebih 200 tahun lalu tidak ada negara Malaysia atau Indonesia, kita telah dipisah-pisahkan oleh penjajah sama ada Belanda atau British. Jika tidak, boleh jadi mungkin kita kini dalam satu negara. Ya, boleh jadi, kan?

Di Malaysia, orang Mandailing berbangga dengan bahasa, budaya dan makanan tradisi suku itu, yang masih dipertahankan sehingga kini, begitu juga orang Jawa, Minang, Bugis dan lainnya. Jangan terkejut kalau datang ke Malaysia, terlalu banyak nama-nama kampungnya yang dibuka ratusan tahun lalu, sama dengan nama-nama tempat di Indonesia.

Sebetulnya, saya melihat bahawa kita memiliki terlalu banyak persamaan, yang mana kalau kita ambil persamaan itu sebagai kekuatan, kita di dua negara ini boleh menjadi negara sahabat, negara berjiran atau tetangga yang sangat kuat, akrab dan maju bersama. Saya sentiasa percaya, mencari persamaan itu lebih baik daripada memperbesarkan perbedaan.

Silaturahim

Banyak lagi cerita-cerita yang boleh dikongsi dengan para pembaca di Indonesia. Namun, saya memulakan kolom ini dengan cerita-cerita di atas, supaya kita memulakan era baru persahabatan dan memperkukuhkan hubungan yang sudah sedia terjalin antara kedua-dua negara. Sesungguhnya, kita saling bersaudara, saling memerlukan dan saling memiliki pengertian kepada betapa mustahak atau pentingnya silaturahim sesama kita.

Untuk menjalin silaturahim dengan masyarakat dan saudara-mara di Indonesia, tidak mungkin saya menukar status warganegara saya kepada warga Indonesia, kerana saya sememangnya rakyat atau warga Malaysia, lahir di Malaysia. Ayah dan ibu saya, datuk dan moyang saya juga lahir di Malaysia. Saya adalah generasi ke-4 di Malaysia. Anak-anak saya pula generasi ke-5. Tetapi menjadi rakyat Malaysia, tidak menghalang saya dan keluarga saya untuk meneruskan hubungan silaturahim dengan saudara-mara saya di Indonesia. Malah dalam kunjungan ke Sumatera Utara pada November lalu, isteri dan semua 8 anak saya juga ikut serta rombongan dengan harapan mereka berbangga menjadi orang Mandailing saat mereka menjejak kaki di sana.

Saya fikir dan saya percaya, majoriti masyarakat Malaysia dari suku serumpun berkongsi pandangan dengan saya. Hubungan silaturahim jika dijalin dan diperkuat, tidak terlalu mahal harganya. Tetapi jika silaturahim dilupakan, harganya terlalu mahal untuk memperbetulkannya nanti. Ketemu lagi. Salam silaturahim. Horas, horas, horas. 

Penulis adalah jurnalis senior Malaysia yang juga Presiden Persatuan Halak Mandailing Malaysia dan tinggal di Kuala Lumpur.
Share this article :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Sholat Do'a dan Dzikir - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger